Thursday, October 19, 2006

Menongkah Arus


aku perhatikan ikan-ikan di air terjun ini
mengapa menongkah arus
mengapa mencari susah

aku terfikir...bukankah lebih baik mengikut arus
kan lebih senang macam tu
tenaga pun tak terbuang

aku berfikir lagi...
apakah itu takdirnya
mungkin ketetapan azali
dari Pencipta Yang Maha Esa

memang benar ianya dicipta seperti itu
tapi pasti ada hikmahnya tersendiri
sebab Dia Maha Pencipta
pasti lah tidak sia-sia walau sebesar zarahpun

kalau ikan-ikan itu mengikut arus
pasti hidupnya tak lama
kerana dari tenaga yang dibuang itulah dia boleh hidup
kerana menongkah aruslah dia peroleh makanannya
kerana menongkah aruslah lahir kekuatannya

aku cuba membadingkan dengan manusia
kalau tak menongkah arus mana mungkin ada perubahan
kalau tak menongkah arus mana mungkin ada inovasinya
sebab menongkah aruslah manusia berubah
manusia mencipta tamadun

Monday, October 16, 2006

Keterbukaan


Aku tertarik dengan apa yang berlaku dalam politik semasa kebelakangan ini. Setelah begitu lama berada dalam suasana "terkurung" lalu sekarang keadaannya berubah setelah Pak Lah mengambil alih pemerintahan negara. Aku tidak menyalahkan sesiapa cumanya apa yang aku faham, masing-masing PM ada cara dan kaedah yangberlainan. Aku suka cara Pak lah ini, keterbukaan yang bersifat telus.

Keterbukaan Pak Lah ini disalah ertikan dengan masing-masing menafsirkannya sebagai peluang dan ruang untuk bercakap dan mengkritik secara bebas tanpa had dan sekatan perundangan syariat,perundangan negara dan moral. Ini lah kesilapan yang berlaku baik di kalangan rakyat maupun pemimpin. Pak Lah pada pandangan aku mahu keterbukaan ini dilihat dari aspek tanggungjawab. Masing-masing boleh bercakap tetapi mesti berlandaskan tanggungjawab dan amanah. Kalau rakyat kepada tanggungjawab dan amanah rakyat terhadap negaranya...kalau pemimpin tanggungjawab dan amanah terhadap rakyatnya dan kepimpinannya.

Niat tidak baik, ada kepentingan, melampaui batas agama, perundangan dan moral menjadikan kerterbukaan ini dicemari dan membawa kesan buruk kepada sesiapa saja termasuk negara.
Aku mungkin faham kalau ada rakyat yang tersasar kefahamannya terhadap keterbukaan ini namun aku sungguh tidak faham kalau seorang seperti Presiden Parti Gerakan juga boleh tersasar dari memahami maksud sebenar keterbukaan ini. Sengaja tidak faham atau memang tidak mahu faham... beliau yang pada bila-bila masa boleh berjumpa PM, boleh menemui UPEN atau sesiapa saja yang beliau mahukan penjelasan, kenapa masih mahu menyalahgunakan konsep keterbukaan ini.
Aku rasa kita semua harus dan mesti berfikir tentang apa yang berlaku ini...apa kata ko orang?

Saturday, October 14, 2006

Selamat Hari Raya


Syawal bakal menjelang, Ramdhan bakal ditinggal pergi, kemenangan kita raikan, bulan keampunan di tahun mendatang tetap kita nantikan........
Aku menyusun sepuluh jari bersama sekeping hati memohon maaf atas segala kesilapan dan kesalahan aku pada semua
--------------------------------------------------------------
kalau singgah di kampung hamba
sudi bertandang berhari raya
bermaafanlah kita sesama manusia
itulah adat di bumi tercinta

Jiwaku


Jiwaku ada di sini

RIANA

aku kena bagi kredit untuk gadis ni..sebab aku ciplak pic ni dari fotopage dia huhuhu

Tuesday, October 10, 2006

Antara Prinsip dan Teknikal.


Aku ditanya, kenapa aku lari dari perjuangan? kenapa aku tidak mahu memimpin? lalu ada banyak yang memujuk dan tak kurang juga yang mencela kerana aku bertindak begitu. Masing-masing bebas untuk bercakap dan menilai. Memang menjadi hak sesapapun untuk mengemukakan pandangan dan hujah. Aku tidak ada hak untuk menghalang.

Bagi aku yang mencela tu biarlah dia terus mencela sebab memang tidak ada kebaikkan pun dengan cara tu, samaada dia tak der ilmu atau hati dia tu tak putih. Orang macam ni aku tak kisah sangatpun sebenarnya. Aku akan berfikir untuk orang yang ada kejujuran dan keikhlasan, mereka ni kalau puji, puji ikhlas, kalau kritik, kritik ikhlas. Ini jenis manusia yang boleh buat aku berfikir tentang apa dia kata.

Aku cuba jawab sikitlah tentang soalan atas tu, aku faham mereka harapkan aku, aku faham maksud dan hakikat sebenar sebuah perjuangan. Perjuangan memerlukan kekuatan, ketabahan, kebijaksanaan dan sebagainya. Aku faham tu..aku setuju dengan tu. Tak ada salahnya pun dengan kenyataan tu malah pegangan dan keyakinan aku sendiri pun macam tu.

Mereka bertanya dan bercakap dari sudut mereka, yang dipimpin, mereka tak faham bagaimana aku fikir sebagai orang yang berada di barisan paling atas dalam kepimpinan. Sudah tentu berbeza apa aku fikir dengan apa mereka fikir.

Bagi aku, kalau boleh diberi contoh, sebuah kapal yang mahu meredah gelora badai dilautan yang luas dan dalam, kapal yang mahu belayar dalam jangkamasa yang lama memerlukan binaan yang kuat dan teguh. Sebagai nahkoda pastinya soal ketahanan kapal itu yang akan menjadi perkara utama dalam perkiraan dia mahu meneruskan pelayaran atau tidak. Soal kelasinya, mampu ke tidak. Dia ada dua pilihan samada:-

1. Meneruskan pelayaran dengan kapal yang tidak kuat.
2. Membatalkan pelayaran sebab kapal itu tidak kuat.

Kapal yang kuat adalah kombinasi dari pelbagai faktor termasuk senibinanya, orangnya, dan segala-galanya. Nahkoda yang biasa belayar pasti tau menentukan apa yang perlu bagi sebuah pelayaran. Dia tahu apa yang bakal terjadi disepanjang pelayaran tersebut. Mungkin apa yang berlaku tidak sama namun ceritanya tetap sama, susah senangnya tetap sama walaupun pelakonnya adalah lain. Secara konsepnya semua yang bakal ditempui adalah sama. Pengalaman sebagai nahkoda adalah ilmu yang berguna dan semua ini susah untuk difahami oleh orang lain.

Keadaan yang sama juga berlaku kepada aku, bukan aku angkuh, bukan menidakkan harapan ramai, namun aku berfikir sebagai nahkoda tadi, yang akan tanggung segala perkara adalah aku, sebab aku paling atas dalam kepimpinan, semangat penting, namun untuk memimpin sebuah organisasi memerlukan lebih dari sekadar semangat. Dalam soal kepimpinan aku boleh bertolak ansur dalam soal teknikal namun dalam soal prinsip, aku tak akan bertolak ansur termasuklah soal kepatuhan orang yang aku pimpin, soal menghormati, soal struktur, dalam perkara bersedia untuk dipimpin dan sebagainya. Ini semua soal prinsip, aku tidak boleh bertolak ansur dalam soal ini. Sekiranya aku dapati mereka yang membelakangkan soal prinsip ini adalah merupakan tulang belakang sebuah organisasi, maka aku tiada pilihan lain, antara berundur atau memecat mereka dari berada dalam saf kepimpinan.

Dalam konteks aku, aku sudah cuba memberi gambaran tentang perkara ini secara tidak langsung, namun kerana terlalu dominan dan terlalu bersemangat sangat maka mereka sudah tidak faham dan tidak sedar bahawa banyak perkara berlaku adalah menyalahi prinsip aku sebagai pemimpin. Kalau sekadar memimpin suatu majlis, ini tidak memerlukan sangat aku berpegang pada prinsip, ini memimpin sebuah organisasi yang bakal memperjuangkan isu dan nasib yang terabai begitu lama, berakar umbi, apakah aku boleh bertolak ansur dalam soal ini?

Dalam kepimpinan, keutamaan utama barisan pemimpin adalah kepada ketuanya selagi ketuanya tidak melakukan sesuatu yang akan merosakkan perjuangan. Kalau ada sesuatu yang bercanggah dari segi teknikalnya, maka ianya mesi dirujuk terus kepada ketua dengan menyatakan pendirian masing-masing. Kalau jawapan ketua masih diragui, kalau perlu ada mekanisma lain boleh diambil bagi membetulkan ketu, hatta sampai kepada memecat ketua. Ini boleh dilakukan dengan syarat ianya termaktub dalam perlembagaan yang diterima pakai.
Bukan mudah untuk menjadi seorang ketua dalam sebuah organisasi, kerana selain dari menyusun gerak kerja dan strategi, pastinya akan berhadapan dengan seribu satu halangan dan cabaran dalam mencapai matlamat. Sekiranya matlamat itu besar maka besarlah cabaran dan halangan tersebut.

Sebagai pemimpin, aku melihat kekuatan awal yang ada, kalau aku rasa ianya terlalu rapuh, terlalu lemah, tidak melepasi tahap yang sepatutnya maka aku tidak akan melaksanakannya. Aku tidak akan berlayar dengan kapal itu. Aku faham bahawa akan ada kelemahan diperingka awal tapi bukan dalam soal prinsip. Kalau kelemahan bersifat teknikal aku terima, tapi dalam soal sikap yang berkait dengan prinsip aku tdak boleh terima. Prinsip ni, kalau solat ianya dipanggil rukun, kalau rukun tak betul maka solat tak sah, bukan sekadar batal..TIDAK SAH.
Itu letaknya kepentingan prinsip. Prinsip dalam sebuah perjuangan ialah kepatuhan kepada pemimpin, keikhlasan, kejujuran, dan sebagainya. Sekiranya ada mana mana dalam barisan kepimpinan cuba menggugat keharmonian sesama pemimpin, baik dari segi hak dan sebagainya maka aku tidak boleh terima, apalagi kalau ianya salah dari segi peraturan dan apa lagi kalau aku sebagai pemimpin diperlakukan dengan perlakuan tidak sepatutnya.

Aku tidak meminta banyak sangat, kalau ada sesuatu yang tidak jelas, rujuk dahulu kepada aku, dengar dulu apa aku nak kata, tengok dulu apa aku sedang rancang dan sesuka hati menentang dan serang aku. Ada bezanya antara isu peribadi dengan isu organisasi. Walau pandangan mereka itu kemukakan serangan dan kritikan secara peribadi tapi dalam soal organisasi maka ianya adalah salah..maksud aku dilakukan secara terbuka. Sebagai pemimpin, aku boleh dikritik tapi mestilah dalam mesyuarat atau email , call, sms ke secara peribadi kepada aku.

Kalau dalam soal lain, tak ada kena mengena dengan apa aku buat sebagai pemimpin, itu aku tidak kisah. Bilamana sesuatu perkara masih dalam perancangan dan proses aku membuat keputusan, maka menjadi prinsip aku dan mana mana pemimpin pun untuk ajk. atau barisan kepimpinan dia membantu dan mengemukakan segala kritikan dan pandangan secara baik dan tertutup.

Jangan kata bahawa kritikan itu bersifat peribadi dan boleh dikemukakan secara terbuka, ini salah kerana isu itu berkait dengan kredibiliti aku, berkait dengan apa yang aku akan putuskan, berkait dengan orang yang di bawah kepimpinan aku. Aku tidak boleh terima kritikan terbuka seperti itu. Nak tegur ada caranya , ada kaedahnya. Jangan menyusahkan aku dengan kritikan terbuka yang bakal menyebabkan orang lain yang tidak faham apa apa sama menyalahkan aku wahal sebenarnya aku berusaha untuk menyelesaikannya dan sepatutnya dan semestinya barisan kepimpinan aku menyertai dan bersama-sama aku untuk menyelesaikannya. Dalam perbincangan tertutup boleh nak kritik dan nak bangkang segala apa aku kata..aku benarkan..tak salah pun.

Aku tidak lari dari perjuangan tetapi mestilah difahami prinsip dan pegangan aku, Insyaalah aku akan fikir balik segala keputusan aku. Namun perlu faham untuk meminta aku memikirkan kembali keputusan aku, bukan seperti memujuk kekasih atau suami atau isteri. Meminta pemimpin untuk mengubah keputusan mesti ada kaedahnya dan caranya. Aku terpaksa mengatakan ini kerana begitu ramai yang tidak faham dan asyik memuji dan mengutuk aku. Bukan itu caranya.

Aku tidak sensitif, aku boleh melupakan semua kesilapan dan kesalahan, namun aku mesti menyatakan pendirian aku dan adakalanya aku terpaksa bertegas untuk mempertahankan prinsip asas sebagai pemimpin sekalipun aku terkeluar atau tersingkir atau terpaksa meletak jawatan. Bukan soal perasaan di sini tetapi soal prinsip.

Monday, October 09, 2006

Mempertahankan Kebenaran




Dalam kehidupan kita, ada ketikanya kita akan terpaksa memilih antara yang hak dan yang bathil, antara benar dan palsu. Memilih kebenaran itu sebenarnya sukar, kerana bersama kebenaran itu akan ada jalan sukarnya. Memilih yang bathil atau palsu itu mudah kerana bersama kepalsuan itu begitu banyak habuannya.

Namun bagi insan yang ada akalnya, ada imannya, ada prinsip dan pegangannya pasti akan memilih kebenaran walaupun ianya sukar dan pahit. Percayalah kalau memilih kebenaran itu sukar maka untuk mempertahankan kebenaran itu lagi sukar. Dalam proses kita mempertahankan kebenaran, pasti akan ada situasinya kita keliru, kelemahan kita adalah kerana kita manusia, akal dan nafsu seiring namun terhad. Kalau akal sahaja yang diambil maka akan bertambah kelirulah kita dan begitu juga kalau hanya nafsu pun kita akan keliru juga.

Sebab itu dalam memilih kebenaran mesti disertai dengan pendirian dan pegangan. Disertai dengan perundangan dan garis panduan. Kesemua ini menuntut kepada ILMU. Sekiranya kita adalah orang Islam maka ilmu itu mesti disertai dengan iman dan peraturan yang ditetapkan oleh Allah. Boleh juga diambil nilai-nilai moral tetapi mesti selari dengan syariat.

Ini kekuatan yang mesti ada sekiranya mahu mempertahankan kebenaran yang kita pilih itu. Kalaupun dimasa kita mempertahankan wujud berbagai perkara yang boleh menggugat kebenaran itu, dengan bekalan dan kekuatan rohani disertai dengan ilmu, iman dan perundangan, maka kebenaran itu boleh dipertahankan. Kebiasaannya kebenaran ini juga boleh ditentukan oleh pengalaman namun pengalaman masih tidak bersifat mutlak, ianya memerlukan kombinasi perkara-perkara yang disebutkan tadi.

Mungkin dalam menilai kebenaran yang bersifat teknikal, kita boleh melihat kepada pengalaman namun mesti juga diambil kaedah perundangan (syariat) dan iman. Kalaulah kesemua perkara ini ada pada sesuatu perkara maka itulah kebenarannya dan pilihlah serta pertahankanlah walau nantinya kita hanya tinggal seorang diri.

Saturday, October 07, 2006

Menuju Puncak



Di sudut ini aku memandang tinggi
Dari aras bawah sekali
Melihat puncak diselaputi awam putih
Indah dan nyaman

Di sudut ini aku memandang tinggi
Betapa puncak itu mampu dicapai
Mengapa tidak kalau ada niat
Mengapa tidak kalau ada hasrat
Mengapa tidak kalau ada kudrat
Mengapa tidak kalau ada gerak

Di sudut ini aku memandang tinggi
Puncak kejayaan yang putih bersih
Bakal menjanjikan seribu satu nikmat
dalam kehidupan yang singkat

Menuju Puncak
Ku kayuh minda ini secepatnya
Ku larikan usaha ini sedapatnya
Ku pintal semangat yang ada
Ku kaitkan hubungan yang mesra
Sesama kita, di kalangan kita

Menuju puncak
Menuntut kesedaran
Mengheret yang lemah
Memapah yang kurang

Menuju puncak
Ku doakan takdir ini agar berubah
Dengan usaha dan ukhwah
Ku ubah kemudi kehidupan
Menjadi haluan kejayaan

Menuju puncak
langkah pertama tidak berjaya
langkah kedua juga gagal
kita rintis langkah ketiga
kalau masih gagal juga
kita bina langkah seterusnya

Menuju puncak
Seorang mengubah ramai
Ramai mengubah kehidupan
Rahmat dari anugerah
Berkat dari kurniaNya
Mengapa tidak kerana jalan telah ada
Mengapa sukar kalau bukan kita yang mencipta
Kita hanya menurut apa yang sedia ada
Melengkap sudut mengukir jaya

Friday, October 06, 2006

Ombak dan Pantai



nyamannya menghadap laut luas terbentang
alunan suara ombaknya sungguh mengasyikkan
bebuih airnya diantara gelombang
camar putih bebas berterbangan
indahnya panorama alam

aku disini....diantara khayalan dan kenyataan
diantara harapan dan kekecewaan
cuma menghubungkan lautan dan daratan
aku banyak melihat kedukaan dari kegembiraan

aku cuba menafsirkan alunan kehidupan ini
cuma mencari jawapan dalam begitu banyak pertanyaan
apakah ombak sebenarnya penyeri alam
atau desiran angin yang membawa pengertian
mungkin juga pepohon nyior membuahkan harapan

ombak dan pantai
manusia dan alam
kasih dan sayang
cinta dan harapan
begitu banyak yang terluka dari gembira

apakah daya ku sebatang kara
aku bukan setia seperti ombak dan pantai
kalau aku sehebat langit di atas sana
mungkin aku akan hamparkan pelindung kedukaan utk semua
tapi tidak mungkin...kerna aku manusia biasa

wahai ombak dan pantai
maafkan aku dengan bicara ini
tapi kau harus mendengarnya juga
kerana aku dan kau adalah sebahagian dari kehidupan ini
mereka terluka kita merasa sama

semalam ombak dan pantai berbisik lagi
jalinan yang saling mengerti dan serasi
tika ombak mengganas..pantai susah dihati

mereka tahu bahawa di daratan manusia semakin berani
semakin berahi dengan kemusnahan duniawi
kedamaian yang semakin sukar dicari
keinsanan yang terlalu jauh untuk difahami

Thursday, October 05, 2006

Tuesday, October 03, 2006

Ku musafir di minda sendiri......



adakah riak-riak rasa di hati ini
akan memancarkah seri
takala mendung mewajah diri
tunduk aku merenung diri

gelombang rasa yang tak bertepi
mengolah kasih berbuih putih
menghempas syahdu di hati ini
mengalun rindu di antara sedih

ku musafir di minda sendiri
mencari ertinya teman sendiri
resah bertapak di sudut jiwa
fikir rentak yang ditari

adakalanya kerisuaan menjenguk rasa
dengan lintasan berbalam, mendebar sukma
tabahkan aku dengan sengketa melanda
kuatkah aku dengan ujian menimpa

indahnya rasa berolak jua
kuatnya jiwa bergoyang juga
lintasan apakah namanya
mengugat rasa yang telah dibina

bukan tidak pernah meniti gelora
bukan tidak pernah mengenggam bara
namun sukarnya takala maksud disalah sangka
sukarnya takala medan ilmiah ditera
disambut pula dengan madah berbisa

ku musafir di minda sendiri
mencari realiti antara mimpi
mencari pasti yang serasi
membina harapan di hati ini

di musafirku ini
aku melihat adanya cahaya
walau sengsara yang dulu tibanya
aku yakin esoknya,pasti mentari bersinar ceria
moga aku tabah menghadapinya

Monday, October 02, 2006

Mengimbas kenangan di Pantai Telok



pantai teluk seindah namamu....
aku hadir kembali mengimbas kenangan
masih ku ingat lagi....di kiri kanan menuju ke pantaimu
dipenuhi pondok-pondok berseni
buat penghuni menumpang teduh
pepohon buah meranum hijau dan merah


pasiran putih halus mulus terbentang
seumpama gadis sunti berwajah gemilang
tiupan bayu cina selatan umpama jejaka dari kejauhan
mengurat mesra gadis sunti terbilang


tiada dua...tiada tiganya pantai teluk di dada dunia
airnya jernih berdesir halus ombaknya
berbuih dek hempasan ceria
kelihatan anak-anak ikan berkejaran bergurau senda


disekelilingnya bukit hijau melingkar gagah
pinggirannya menjulur ke pantai terserlah
di situlah berkumpulnya penghuni desa mencari kepah
begitulah kurniaan Allah pada pantai teluk yang melimpah


permandangan indah jelas kelihatan
takala sampan-sampan berlayar putih menuju ke daratan
pahlawan lautan kembali dengan tangkapan
menunggu di pantai peraih mencari keuntungan
anak-anak melambai ayahnya penuh kerinduan


aku bangga dilahirkan di pantai ini
aku bangga menjadi anak watan di pantai ini
aku bangga berpanaskan mentari bermandikan hujan di pantai ini
aku bangga dengan kehidupan di pantai ini


kini.....

semuanya hilang sekelip mata
atas nama pembangunan......yang ada hanyalah pelabuhan
pantai teluk yang indah ini..hanya tinggal kenangan
segalanya telah lenyap dari pandangan


kalau dulu..anak anak mudanya gagah perkasa
kini lemah tak bermaya
semuanya kerana harga yang mesti dibayar
untuk sebuah pembangunan