PHD (Doctor of Philosophy) atau Doktor Falsafah? Jika PhD sebagaimana yang dimaksudkan dengan Doktor Falsafah memang sedap betul didengar. Gelaran tertinggi dalam hiraiki tahap pendidikan itu ternyata membawa imej yang cukup gah buat pemiliknya.
Namun, bukan itu yang menjadi kebanggaan sesetengah pihak, sebaliknya mereka lebih berbangga kerana memiliki sifat PHD - Perasaan Hasad Dengki! Pantang sekali melihat insan sekelilingnya maju ke depan, mulalah ada saja yang tidak kena di matanya.
Bila sudah ada sifat PHD terbenam dalam perasaan, pelbagai strategi digunakan bagi memastikan 'pesaing' yang dirasakan memberikan ancaman itu akan segera mengangkat bendera putih, tidak pun mengalah dan akhirnya tewas dengan 'permainan' yang dicetuskan pembawa PHD.
Tidak cukup dengan hasutan, tohmahan, fitnah hinggalah kepada unsur lebih ekstrim sanggup dilakukan mereka yang memiliki ciri sedemikian semata-mata kerana ingin memuaskan hati sendiri, sedangkan insan yang menjadi mangsa PHD itu sendiri merana.
Sudahlah menjadi mangsa tohmahan dan fitnah, tidak mustahil mangsa PHD kehilangan teman sekeliling, selain disisihkan pihak pengurusan yang mungkin percaya dengan bahana si pembawa mulut itu.
Lebih parah lagi jika senario PHD itu melanda persekitaran seperti di tempat anda bekerja. Bayangkan, betapa hebatnya anasir dan gosip yang tersebar luas sedangkan belum tentu apa yang dikatakan oleh `pemangsa� itu benar-benar dilakukan 'si mangsa'.
Tidak mustahil juga mangsa ini cenderung memilih jalan keluar dengan meletakkan jawatan sebagai penyelesaian terbaik untuk mengakhiri segala kekusutan walaupun tindakan itu sebenarnya memberi 'kemenangan' percuma kepada si PHD.
Inilah yang dilalui Imran Abdullah, 27, (bukan nama sebenar). Dia tiada pilihan selain mengambil keputusan berhenti kerja gara-gara tindakan tidak wajar rakan sekerja yang lain.
Dia difitnah, dipersalahkan atas kesalahan orang lain. Lebih mendukacitakan apabila majikan juga tidak membuat siasatan rapi dengan insiden yang berlaku sebaliknya mempercayai sepenuhnya tohmahan orang terhadapnya dan berpegang pada prinsip pelanggan sentiasa benar.
Bertugas sebagai Pegawai Perkhidmatan Pelanggan di syarikat penghantaran terkemuka, peristiwa malang itu bermula apabila Imran menerima panggilan daripada seorang pelanggan yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan penghantaran barangan syarikatnya.
"Kerja saya hanya mengambil segala maklumat mengenai aduan pelanggan dan menjuruskan masalah itu kepada jabatan yang berkaitan. Itulah yang saya lakukan apabila menerima panggilan pelanggan ini. Dia berang kerana barangan yang sepatutnya diterima tidak sampai. Saya panjangkan aduannya kepada jabatan yang menguruskan proses penghantaran tetapi mereka tidak memberi kerjasama.
"Pelanggan itu menyalahkan saya kerana kononnya tidak membantu menyelesaikan masalah. Perkara ini sampai ke pengetahuan pengurusan. Malang buat saya, pengurusan juga menyalahkan saya walaupun bukti menunjukkan saya di pihak yang benar hanya kerana ego berpegang kepada prinsip pelanggan sentiasa benar," katanya.
Keadaan itu membuatkan Imran tawar hati untuk terus bekerja di syarikat berkenaan. Kecewa kesungguhan dan pengorbanannya tidak dihargai. Puas berfikir panjang, Imran akhirnya nekad meletakkan jawatan selepas hampir setahun berkhidmat di syarikat itu. Kini, di tempat baru di sebuah syarikat permotoran terkemuka, Imran bahagia tanpa perasaan iri hati teman sepejabat, apatah lagi sikap ego pihak pengurusan.
Bagi Shamsul Azhar Ali, 37, seorang eksekutif di sebuah syarikat swasta, hasad dengki, tohmahan dan fitnah rakan sekerja berlaku di mana-mana organisasi. Itu lumrah manusia, katanya.
Seperti Imran, Shamsul Azhar juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa golongan PHD ini. Namun, tidak seperti Imran yang mengambil keputusan meletakkan jawatan, Shamsul Azhar meneruskan kerjanya seperti biasa kerana percaya kebenaran pasti akan terserlah juga akhirnya.
"Memang sakit hati apabila ada rakan yang tidak habis-habis berdengki. Tetapi, saya tidak membiarkan perkara ini menjejaskan saya. Kita tahu kita di pihak yang benar dan terpulanglah pada orang lain untuk menyatakan yang sebaliknya. Everybody is master of their opinion and judgement. Setiap orang mempunyai pandangan mereka tersendiri dan sukar untuk kita menghalang apa juga anggapan mereka.
"Apabila berhadapan situasi begini, jalan terbaik bagi saya ialah berdiam diri, tidak ambil peduli. Saya percaya kerja begini tidak ke mana dan majikan sebagai orang yang matang pasti akan menjalankan siasatan terperinci serta adil. Mereka akan tahu siapa yang betul dan siapa tidak," katanya.
>>Negara boleh runtuh akibat fitnah
AL-QURAN ada menyebut, angkara fitnah adalah lebih besar bahayanya daripada pembunuhan. Hadis pula ada menyatakan, fitnah itu 40 kali lebih buruk daripada berzina.
Amalan memfitnah adalah amalan keji dan berdosa besar. Malah, dengan fitnah juga boleh mengakibatkan sesuatu masyarakat itu rosak, sementelah jika amalan fitnah itu berleluasa di sesebuah organisasi lambat laun boleh menghancurkan suasana bekerja itu sendiri.
Fitnah adalah satu amalan negatif. Ia sangat mudah untuk disalahgunakan dan ia tidak memilih mangsa. Tidak peduli orang besar. Tidak peduli orang kecil. Lazimnya, seseorang individu yang lurus, ikhlas dan jujur jadi mangsa fitnah kerana kebenaran yang dijunjung dan ditegakkan olehnya boleh menjejaskan kelompok yang mungkar, tamak dan haloba. Seseorang individu yang lurus, ikhlas dan jujur juga jadi mangsa fitnah akibat hasad dengki, dendam, cemburu, iri hati juga khianat.
Inilah bahana fitnah. Akibat fitnah, seseorang individu yang tulus, ikhlas, dan jujur boleh ditukarkan menjadi seorang manusia yang berimej kotor, buruk dan tercemar. Seseorang yang sangat berjasa dan masih terus berjuang untuk menjunjung dan menegakkan kebenaran boleh dituduh dengan pelbagai celaan, hinaan dan kata nista yang panjang berjela.
Fitnah wujud di mana-mana, tidak kira bangsa juga agama. Bagi bangsa Melayu/Islam banyak kisah menceritakan keruntuhan individu, kepemimpinan juga negara kerana fitnah. Dalam Hikayat Hang Tuah ada kisah fitnah. Dalam Tuhfat Al-Nafis karya Raja Ali Haji juga ada kisah fitnah. Ketika era kegemilangan empayar Melayu Melaka, Laksamana Hang Tuah pernah difitnah. Hang Jebat mengamuk dan bertindak derhaka pun kerana hendak membela Hang Tuah yang disingkirkan oleh Sultan akibat fitnah.
Akibat fitnah ke atas Hang Tuah buat kali kedua, bumi Melaka bermandi darah. Dua sahabat yang rapat ibarat adik-beradik seibu sebapa terpaksa berbunuhan.
Begitulah hakikatnya fitnah. Fitnah adalah senjata tajam yang boleh menghakis maruah, merendahkan martabat dan membinasakan kehidupan sejagat.
Ciri Mangsa Fitnah
- Dikurniakan bakat yang lebih menonjol
- Personaliti menarik
- Produktif dalam kerjayanya
- Menjalinkan hubungan baik dengan semua orang termasuk pihak pengurusan atasan
- Popular di kalangan kakitangan
- Mempunyai paras rupa yang kacak/jelita
- Gaya yang memikat dan tersendiri
- Personaliti serba-boleh
- Berfikiran positif. Jangan mengalah dan pencilkan diri tanpa berusaha mencari jalan penyelesaian
- Tidak ambil peduli tohmahan orang jika ia tidak mengaibkan mahupun menjejaskan maruah
- Kuatkan semangat
- Utamakan kerjaya tanpa memikirkan hal remeh
- Kukuhkan hubungan dengan semua orang
- Cuba bersikap biasa dan melayan baik pembawa fitnah
- Luahkan perasaan jika berasa tertekan bagi menghindari fitnah berlarutan
- Berhenti kerja. Cari tempat kerja yang baru. Mengalah bukan bererti kalah kerana dengan berhenti kerja, hubungan baik dengan majikan dan rakan lain akan terus berjalan dengan baik.
No comments:
Post a Comment