Thursday, March 01, 2007

Rasuah? Skandal Seks?


Kes Zulkipli disemak -- Peguam Negara teliti semula kertas siasatan Ketua Pengarah BPR

Oleh Ruhaidini Abd. Kadir dan Norhana Salashar Basharuddin




KUALA LUMPUR 28 Feb. – Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan hari ini berkata, kertas siasatan melibatkan Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah, Datuk Seri Zulkipli Mat Noor yang dibuka 10 tahun lalu diserahkan semula kepada pejabat Peguam Negara hari ini.

Musa memberitahu Utusan Malaysia, kertas siasatan itu berupa laporan polis yang dibuat oleh seorang ahli perniagaan wanita pada Julai 1997 di Balai Polis Cheras, di sini.

“Dalam laporan polis yang dibuat, wanita berkenaan yang ketika itu berusia 42 tahun mendakwa dipukul oleh Zulkipli ekoran beliau menolak untuk melakukan hubungan seks.

“Polis telah menyoal siasat semua pihak pada waktu itu termasuk pengadu yang mendakwa teman wanita Zulkipli dan beberapa saksi. Kes itu kemudian dianggap telah selesai,” katanya di sini.

Ditanya apa yang dimaksudkan dengan ‘selesai’, Musa berkata: “Itu kena tanya Peguam Negara.

“Disebabkan kes itu ditimbulkan semula maka kita telah mengambil dan menyerahkan kertas siasatan tersebut kepada Peguam Negara untuk diteliti.

“Saya telah berjumpa dengan Peguam Negara pagi ini di pejabatnya bagi menyerahkan semula kertas siasatan itu untuk kegunaan beliau,” jelas beliau.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail gagal dihubungi untuk mendapatkan reaksinya.

Isu mengenai dakwaan itu ditimbulkan oleh sebuah pergerakan dikenali sebagai Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) melalui satu laman blog tempatan semalam. Dakwaan itu kemudian dipetik sebuah akhbar tempatan hari ini.

Semasa laporan itu dibuat Zulkipli adalah bekas Ketua Polis Johor. Beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah BPR pada 2001. Perkhidmatan beliau disambung secara pinjaman sebanyak tiga kali. Tarikh akhirnya di pejabat, difahamkan, ialah pada akhir Mac ini.

Sebelum menjawat jawatan dalam badan itu beliau adalah Ketua Polis Sarawak.

Menurut ketua polis negara itu lagi, pihaknya kini menunggu arahan selanjutnya daripada Peguam Negara berhubung kes itu.

“Terpulanglah kepada Peguam Negara (untuk tindakan seterusnya),” katanya.

Mengulas lanjut, Musa memberitahu, tiada laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak berhubung kegiatan rasuah dan jenayah seksual yang dilakukan oleh Zulkipli.

Ditanya mengenai dakwaan bekas Pengarah BPR Sabah, Mohamad Ramli Manan bahawa Zulkipli memiliki harta yang tidak sepadan dengan sumber pendapatannya selain terbabit dalam aktiviti tidak bermoral dan aktiviti jenayah, Musa berkata, itu merupakan satu tuduhan baru.

“Jika ada laporan polis, kita akan siasat. Dalam kes ini, polis perlu meneliti sama ada perlu siasatan baru atau tidak,” jelasnya.

-----------------------------------------------------------

komen aku:-

Apabila ada kes seperti ini yang dilakukan oleh seorang yang merupakan Ketua Pengarah, apalagi ianya Ketua Pengarah BPR yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri, maka suatu kenyataan dari PM amat diperlukan bagi rakyat agar tidak dikelirukan oleh sesiapapun atau untuk rakyat memahami apa yang berlaku kerana ianya melibatkan soal keyakinan rakyat kepada sistem keadilan di negara ini.

Kes seperti ini menuntut yang dituduh digantung jawatan dan kuasanya sepertimana yang terkandung dalam undang-undang yang diterima pakai dalam pentadbiran awam Malaysia. Secara moralnya juga kalau sudah ada kes seperti ini, maka kerajaan mesti mengeluarkan kenyataan secara rasmi. Harapnya selepas ini perlulah dikaji dengan mendalam tentang kaedah perlantikan seseorang untuk ke jawatan tinggi dan penting seperti itu. Setahu akulah jawatan biasa sebagai pegawai BPR pun akan diselidiki hingga ke zaman sekolah. Apa yang berlaku ini mesti ada penjelasan dari pihak yang berkenaan.

3 comments:

  1. Anonymous7:27 PM

    Sila teka siapa yang ada kuasa bebas penjenayah di bawah Ordinan Darurat?

    Negara sedang berdepan dengan dua kes dakwaan yang melibatkan intregriti pentabiran di peringkat yang cukup tinggi.

    Baru saja kes dakwaan keatas Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Datuk Seri Zulkifli Mat Noor ‘meletup’ dan belum diketahui kedudukan sebenar… teka teki kini tersebar luas mengenai siapa dia tokoh politik kanan yang didakwa terima sogokan RM5 juta untuk bebaskan beberapa penjenayah.

    Dua-duanya kes berat.Kalau tak selesai segera ia boleh mencetuskan macam-macam cerita.

    Yang pasti sekarang sah wujudnya tokoh politik yang didakwa itu dan juga sah ada beberapa tahanan yang dibebaskan bawah Ordinan Darurat.

    Mereka yang dibebaskan guna kuasa itu pula terlibat dalam kes-kes berat seperti maksiat, gengsterisme, Ah Long, jenayah ganas, rampasan dan peras ugut.

    Pengesahan bab ini dinyatakan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan sendiri.

    Pengarah Siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) Mohd Shukri Abdul pula mengesahkan tokoh politik dan saksi-saksi terlibat sudah dikenalpasti.

    Siasatan bermula ekoran pendedahan dibuat oleh dua buah laman web yang telah menyiarkan tuduhan-tuduhan dan penglibatan secara terperinci ahli politik tersebut.

    Dalam soal tokoh politik yang didakwa terlibat dengan pembebasan penjenayah itu sebenarnya kalau mengambil kira dari faktor lojik …tidak sukar untuk zero in.

    Siapakah yang ada kuasa menangani Ordinan Darurat? Kuasa ini ada pada orang tertentu dan di kementerian tertentu sahaja.

    Diketika teka teki sedang merebak luas menurut empunya cerita fokusnya kini lebih kepada dua orang tokoh politik saja.

    Ada cakap-cakap mengatakan tokoh politik yang menjadi tumpuan teka teki dalam soal ini sudah matikan handphone nya dan tidak dapat dihubungi baik kalangan wartawan dan kalangan rakan politik.

    Apapun jaminan sudah diberi agar kes ini disiasat ke akar umbi.

    Arahan itu dibuat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika diminta mengulas mengenainya oleh para wartawan selepas satu acara di Pekan Sabtu.


    Tegas Najib polis tidak perlu teragak-agak walaupun ia melibatkan pemimpin politik kanan yang mungkin berpengaruh.

    ‘‘Tidak ada sesiapa pun yang mengatasi undang-undang di negara ini,” katanya.


    Menurut pemerhati kalau begitulah halnya besar kemungkinan orangramai tidak perlu menunggu lama untuk tahu siapa gerangannya tokoh politik berkenaan.- 4/3/2007

    ReplyDelete
  2. Anonymous7:30 PM

    BPR menyiasat Timbalan Menteri? Bagaimana tu ye sedangkan Ketua BPR pun sedang disiasat dek rasuah. Sungguh melucukan.. BPR dah tak de Integriti dah pun, sepatutnya lucutkan atau gantung jawatannya dan lantik pemangku dulu lah. Malaysia oh Malaysia

    ReplyDelete
  3. Anonymous7:35 PM

    VIP bantu Ustaz Zul
    Oleh AHMAD SHAHRUL NIZAM MUHAMMAD

    Sanggup beri kereta: Ustaz Zul mendapat sokongan seorang VIP menjalankan aktivitinya

    KUALA TERENGGANU: Seorang kenamaan (VIP) dikatakan sanggup meminjamkan keretanya kepada Ustaz Zul bagi memudahkan lelaki yang dikaitkan dengan kes rogol dan cabul bersiri itu menjalankan aktivitinya di negeri ini.


    Kereta dipinjamkan itu dikatakan banyak membantu Ustaz Zul dan memudahkan pergerakannya dari sebuah kem di Kampung Jenagor ke banglo tempat dia dan pengikutnya berkumpul sebelum ditahan di Jalan Sultan Mahmud, di sini, Rabu lalu.

    Difahamkan, segala pergerakan Ustaz Zul di negeri ini mendapat ‘restu’ VIP berkenaan yang berusia lingkungan 30-an, sekali gus menjadi antara sebab mengapa lelaki paling dikehendaki itu sukar dikesan pihak berkuasa sebelum ini.

    Sumber memberitahu Metro Ahad, VIP terbabit dikatakan mengetahui segala aktiviti yang berlaku di kem terbabit dan tidak menolak kemungkinan turut membiayai perbelanjaan kumpulan diketuai Ustaz Zul.

    Sumber itu berkata, VIP berkenaan juga dikatakan pernah mengunjungi kem itu kerana yakin dengan keberkesanan program di situ, selain membantu menyelesaikan masalah peribadinya.

    “Fungsi VIP terbabit di kem ini memang diketahui, tetapi tidak mengetahui sejauh mana pembabitannya dengan Ustaz Zul.

    “Kenderaan VIP terbabit yang digunakan Ustaz Zul ditahan di sebuah balai polis di negeri ini selepas polis merampasnya ketika menyerbu banglo Ustaz Zul, Rabu lalu. Namun kenderaan itu diserahkan kembali kepada VIP terbabit pada hari sama.

    “Fungsi VIP terbabit di kem Ustaz Zul di Kampung Jenagor memang diketahui, tetapi belum dipastikan pembabitannya dengan aktiviti lain Ustaz Zul,” katanya.

    Dalam serbuan kira-kira jam 2 pagi Rabu lalu, 30 anggota polis terbabit dalam serbuan ke sebuah banglo di Jalan Sultan Mahmud, di sini yang membawa kepada penahanan Ustaz Zul selepas diburu polis sejak 2003 kerana disyaki terbabit dengan kes rogol dan cabul bersiri membabitkan pengikut wanitanya.

    Selepas menyerbu markasnya, polis mengambil masa satu setengah jam pula bagi membawa keluar lelaki berusia 49 tahun itu dan 21 pengikutnya, temasuk seorang wanita berusia antara 20-an hingga 40-an, dari banglo itu.

    ReplyDelete