Monday, October 09, 2006

Mempertahankan Kebenaran




Dalam kehidupan kita, ada ketikanya kita akan terpaksa memilih antara yang hak dan yang bathil, antara benar dan palsu. Memilih kebenaran itu sebenarnya sukar, kerana bersama kebenaran itu akan ada jalan sukarnya. Memilih yang bathil atau palsu itu mudah kerana bersama kepalsuan itu begitu banyak habuannya.

Namun bagi insan yang ada akalnya, ada imannya, ada prinsip dan pegangannya pasti akan memilih kebenaran walaupun ianya sukar dan pahit. Percayalah kalau memilih kebenaran itu sukar maka untuk mempertahankan kebenaran itu lagi sukar. Dalam proses kita mempertahankan kebenaran, pasti akan ada situasinya kita keliru, kelemahan kita adalah kerana kita manusia, akal dan nafsu seiring namun terhad. Kalau akal sahaja yang diambil maka akan bertambah kelirulah kita dan begitu juga kalau hanya nafsu pun kita akan keliru juga.

Sebab itu dalam memilih kebenaran mesti disertai dengan pendirian dan pegangan. Disertai dengan perundangan dan garis panduan. Kesemua ini menuntut kepada ILMU. Sekiranya kita adalah orang Islam maka ilmu itu mesti disertai dengan iman dan peraturan yang ditetapkan oleh Allah. Boleh juga diambil nilai-nilai moral tetapi mesti selari dengan syariat.

Ini kekuatan yang mesti ada sekiranya mahu mempertahankan kebenaran yang kita pilih itu. Kalaupun dimasa kita mempertahankan wujud berbagai perkara yang boleh menggugat kebenaran itu, dengan bekalan dan kekuatan rohani disertai dengan ilmu, iman dan perundangan, maka kebenaran itu boleh dipertahankan. Kebiasaannya kebenaran ini juga boleh ditentukan oleh pengalaman namun pengalaman masih tidak bersifat mutlak, ianya memerlukan kombinasi perkara-perkara yang disebutkan tadi.

Mungkin dalam menilai kebenaran yang bersifat teknikal, kita boleh melihat kepada pengalaman namun mesti juga diambil kaedah perundangan (syariat) dan iman. Kalaulah kesemua perkara ini ada pada sesuatu perkara maka itulah kebenarannya dan pilihlah serta pertahankanlah walau nantinya kita hanya tinggal seorang diri.

1 comment:

  1. Anonymous10:44 AM

    manusia berani berkata-kata dari bertindak
    ~ann~

    ReplyDelete