Salam mesra buat semua pelayar internet yang singgah dihalaman kami. Setelah 20 tahun bergiat dalam bidang rekacipta, Zull Design Autotronic merasakan sudah tiba masanya untuk kami berkongsi pengalaman pahit dan manis sebagai suatu sumbangan kecil tetapi ikhlas kepada seluruh rakyat Malaysia yang tercinta. Semoga usaha ini direstui Allah s.w.t. dan dapat menghasilkan cetusan motivasi kepada pembaca sekalian mendekati bidang rekacipta.
Mulai bulan ini, Insya Allah kami akan berusaha untuk menghasilkan artikel khas yang berkisar tentang pengalaman dan pendapat kami berhubung kreativiti dan inovasi. Walaupun kami telah berjaya menghasilkan sebuah modul latihan untuk membimbing mereka yang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang rekacipta, namun perlu difahami, kami tidak dapat untuk memenuhi seluruh permintaan kerana pelbagai faktor terutamanya masa, tenaga dan tempat.
Terlalu banyak permintaan dari individu segenap pelusuk daerah untuk menyertai kursus kreativiti yang diterima melalui surat, email serta telefon dan kami ingin merakamkan jutaan terima kasih diatas minat dan komitmen yang ditunjukkan. Kami sentiasa memohon petunjukNya agar dipermudahkan urusan dunia ini semoga dilipat gandakan lagi umat yang maju memartabatkan agama, bangsa dan negara melalui pembangunan teknologi.
Tuhan amat menggalakkan penguasaan ilmu dikalangan umatnya. Melalui penguasaan ilmu yang tinggi diadun dengan ketakwaan kepada Tuhan, tidak dapat disangkal lagi merupakan acuan terbaik untuk melahirkan satu umat yang berkualiti dan disegani oleh manusia. Kita telah menyaksikan dengan mata kepala sendiri bagaimana umat islam ditindas oleh rejim asing diseluruh pelosok dunia. Walaupun negara-negara Islam umumnya memiliki kekayaan sumber asli iaitu telaga minyak yang menjadi bahan terpenting didunia masa kini namun kekayaan tersebut tidak dapat menjamin kesejahteraan yang berkekalan.
Kesejahteraan tersebut tidak dapat berkekalan kerana mereka memperolehi kekayaan tersebut melalui warisan. Ibarat seorang bapa yang bertungkus lumus sepanjang hayatnya untuk membina empayar perniagaan dan selepas beliau meninggal dunia, maka anak-anaknya akan mewarisi harta tersebut secara wasiat. Jika sepanjang hidup bapa tersebut beliau membimbing warisnya agar jatuh bangun bersama syarikatnya, maka anak tersebut bukan sahaja mewarisi harta benda tetapi yang terpenting ialah pengetahuan dan pengalaman. Anak ini berpotensi besar untuk memajukan empayar tersebut yang diwarisi dari ayahnya kerana beliau mempelajari dan mengalami sendiri erti peritnya kegagalan. Beliau akan mencatat dalam memorinya berhubung kegagalan tersebut, mengenalpasti punca kegagalan dan faktor-faktor berkaitan. Beliau nescaya sukar untuk melupakan pengalaman tersebut lantas menjauhi langkah-langkah yang menjurus kepada pengulangan kegagalan tersebut. Sebaliknya jika seorang bapa mewariskan perniagaan dan hartabenda kepada anak yang tidak memiliki pengetahuan dan pengalaman, maka seringkali harta benda yang dihimpun melalui keringat bapa akan kering dalam sekelip mata.
Seandainya negara-negara Islam sejak dari dahulu mewariskan ilmu pengetahuan dan pengalaman terbaik kepada rakyatnya, nescaya kekayaan yang dianugerahkan Tuhan akan bertambah dan bercambah menjadi kuasa ekonomi dunia dan seterusnya menguasai politik serta sosial. Tidak mungkin penjajah asing dapat memanipulasi kepintarannya untuk menguasai pentas pemerintahan dunia. Amerika, Britain, Jerman, Perancis dan China memegang tampuk kuasa besar dunia. Dimanakah kedudukan negara Islam? Negara-negara ini membina kekuatan mereka melalui ilmu pengetahuan. Negara Islam pula membina kekuatan melalui kekayaan. Nyata kebenaran metafora yang dikemukakan di atas bahawa kekayaan tidak dapat menandingi pengetahuan yang dimiliki. Itulah jawapannya mengapa negara Islam tidak dapat memimpin negara-negara didunia ini.
Jelas umat Islam didunia ini gagal memikul amanah Allah s.w.t. untuk menyebarkan agama kebenaran kepada umat-umat yang tersesat. Sebagai penganut agama yang dianugerahkan kitab terlengkap iaitu Al-Quran, umat islam sedia maklum betapa perit dan getirnya cabaran para nabi dan rasul memikul tanggungjawab menyebarkan kebenaran Tuhan yang esa. Kerana mereka yakin bahawa Tuhan menjadikan mereka sebagai penyebar agama kebenaran kepada umat yang tersesat. Komitmen para anbia tersebut untuk menjalankan amanah Tuhan memerlukan mereka berfikir langkah terbaik agar usaha mereka membuahkan hasil dan tidak sia-sia. Maka komitmen inilah yang menghasilkan kreativiti. Dibantu oleh mukjizat yang dikurniakan Allah, para anbia tidak henti-henti berfikir cara terbaik untuk mengatasi masalah yang mengundang dari segenap sudut.
Tanggungjawab menyebarkan agama kebenaran Allah tidak terhenti diperingkat rasul, nabi dan para sahabat sahaja. Tanggungjawab tersebut kini terletak dibahu setiap umat Islam sehingga ke hari ini. Malahan kita juga tidak dikecualikan. Tetapi apakah yang telah kita lakukan dan setakat hari ini sudahkah kita memenuhi tanggungjawab tersebut? Jika direnung kembali dalam keadaaan tenang, kebanyakan kita memohon agar dihimpunkan sebagai penganut yang bertakwa dan beriman kepada Allah. Setiap hari kita memohon agar Allah menerima amalan kita. Hidup kita hanya berkisar tentang kepentingan diri sendiri berhubung penerimaan amalan. Jika begitu, siapa yang menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan Allah untuk menyebarkan agama kebenaran kepada umat yang tersesat amalannya?
Tujuan persoalan global tersebut dikemukakan ialah mengajak pembaca semua menggerakkan minda melalui asas kreativiti. Diharapkan agar pembaca semua dapat memahami intipati kandungan tersebut dan amat digalakkan untuk memberi respons yang kreatif sebagai santapan ilmu yang boleh dikongsi bersama melalui email. Selagi setiap individu itu bernafas dimuka bumi ini, tiada siapa yang dapat menafikan haknya untuk menghasilkan pendapat. Inilah diantara asas utama pendekatan kreativiti.
Mudah-mudahan pembaca sekelian dapat membantu kami mempromosi ruangan motivasi kreativiti ini kepada teman-teman, ahli keluarga dan rakan sekerja untuk mempelbagaikan respons yang kreatif. Melalui kaedah ini ia dapat membantu memudahkan kita semua untuk bermula secara sendiri dalam menghimpunkan kelompok yang berpotensi berfikir secara kreatif. Sebagai aktivis sosial sokongan saudara-saudari untuk memperkenalkan laman web www.zulldesign.com ini kepada khalayak ramai merupakan sumbangan yang amat besar terhadap pembangunan insan dan Insya Allah mampu menjadi pemangkin terhadap usaha mempertingkatkan kreativiti rakyat negara ini.
Semoga dengan perasaan rendah diri atas kekhilafan kita sebagai manusia dalam memikul tanggungjawab yang diamanahkan Tuhan, minggu hadapan Insya Allah jika diizinkan olehNya kami akan berkongsi teori bertajuk “Kemampuan Malaysia Dipentas Kreativiti Dunia”.
-Pengarang-
No comments:
Post a Comment