Tuesday, May 30, 2006

Harian Metro 30 May- My Team

MyTeam mahu aksi Liga M

Oleh Lokman Zainal Abidinlockman@nstp.com.myMERASAKAN sebahagian besar pemain skuad MyTeam mempunyai taraf yang setanding dengan pemain profesional negara, pengurusan pasukan itu menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membenarkan MyTeam turut serta bertanding dalam Liga Malaysia musim depan.

Walaupun peraturan badan induk itu menyebut mana-mana pasukan yang mahu beraksi di liga elit Malaysia perlu bermula daripada bawah, Penerbit Eksekutif MyTeam, Khairy Jamaluddin bingkas bangkit mempertahankan kewibawaan pasukannya.“Saya berharap MyTeam dapat diterima masuk ke dalam Liga Malaysia berdasarkan kemampuan dan bakat yang mereka miliki,” katanya.Beliau berkata, kemampuan pemain skuad MyTeam sudah teruji dan pertemuan dengan skuad Malaysia yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin cukup untuk menceritakan kebolehan pemainnya.Hasrat Khairy ialah biarlah skuad itu bertanding sebagai satu pasukan tetapi andai ada pengurusan kelab atau mana-mana pasukan yang berminat mendapatkan pemain skuad MyTeam, tawaran mereka tetap dialu-alukan.“Esok mereka akan kembali ke kampung halaman masing-masing.
Kami akan memikirkan apakah perancangan mereka seterusnya. Jika ada pasukan yang berminat, kami akan menghubungi mereka nanti,” katanya.Biarpun tidak semua rakyat Malaysia dapat menerima kehadiran MyTeam, Khairy berpendapat, matlamat sebenar penubuhan skuad yang dikendalikan jurulatih Serbegeth Singh itu berjaya dicapai.“Pertamanya, matlamat kami ialah untuk meningkatkan tumpuan serta minat penonton terhadap bola sepak tanah air. Itu berjaya kami lakukan kerana perlawanan MyTeam-Malaysia disaksikan penonton yang jumlahnya mencapai lima atau enam kali ganda daripada yang hadir menyaksikan perlawanan akhir Piala FA.“Keduanya, kita berjaya menarik minat pihak swasta untuk turut serta menjayakan bola sepak negara.
Ketiga, kami melakukan kaedah pemilihan yang lebih telus hingga ke akar umbi dan yang terakhir, kami menyeru badan induk kebangsaan itu supaya merangka semula sistem bola sepak tanah air.“Memang ada yang berkata bahawa penubuhan MyTeam tidak mampu menyelesaikan masalah yang sedang melanda bola sepak negara. Itu memang benar kerana MyTeam bukanlah jawapan kepada apa yang sedang berlaku di dalam bola sepak ketika ini,” katanya.Khairy berkata, apa yang perlu diambil perhatian oleh FAM ialah mengenai kaedah yang diamalkan pengurusan MyTeam yang bersungguh-sungguh merangka satu program untuk mengasah bakat pemain selain mewujudkan keseronokan yang didakwa mampu menyumbang kepada kemajuan bola sepak.

No comments:

Post a Comment