Sunday, July 09, 2006

Harga Yang Perlu DiBayar MAWI

Dia bukan Ina saya kenali
“SUDAH terlambat, tidak mungkin saya meneruskan pertunangan ini,” itulah yang diungkap berulang kali Bintang Akademi Fantasia 3, Asmawi Ani (Mawi) apabila ditanya mengenai kesudahan hubungannya dengan Noordiana Mohd Naim (Ina) dalam temubual eksklusif bersama wartawan Metro Ahad (MA), SHAKILAWATI ABD RAHMAN dan jurugambar, ZAIN AHMED, di sebuah hotel di Senai, Johor, Rabu lalu.


Mawi yang masih sedih dengan kehilangan ayahanda tercinta, Allahyarham Ani Ahmad tenang melontarkan kata-kata dan sesekali sebak, terutama apabila berbicara mengenai kontroversi ikatan pertunangannya.Ikuti luahan hati Mawi mengenai keputusan, punca kekeruhan hubungan, restu keluarga, kekesalan, pengajaran dan harapan.MA: Status sebenar pertunangan Mawi?MAWI: Selepas apa yang berlaku, jawapan saya putus. Saya sudah berbincang dengan keluarga dan kami sebulat suara dengan keputusan ini. Tiada gunanya lagi kami teruskan hubungan ini, keluarga saya pun malu, kami kena cukup-cukup. Keluarga masih bersedih dengan kehilangan abah, keluar pula cerita ini.

Lagipun, ini yang Ina mahu. Dia tidak boleh bersabar dan terlalu mendesak. Tidak mengapalah, sudah terlambat untuk berpatah balik. Keluarga saya akan berjumpa keluarga Ina, nanti dikatakan pula tidak beradab dan biadab. Bila masanya, belum pasti lagi kerana kami masih berkabung. Tunggulah, kami tetap akan datang dalam waktu terdekat ini.MA: Apa membuatkan Mawi nekad dengan keputusan ini?MAWI: Saya sudah memikirkan perkara ini sedalam-dalamnya. Susah menjalin hubungan antara keluarga apabila dicemuh dengan kata-kata mengguris hati. Tidak sepatutnya Ina bercerita perbualan peribadi kami kepada media. Akibatnya, ia menjadi besar dan digembar-gemburkan. Kalau tidak bercerita, mungkin perkara ini boleh dibawa berbincang lagi.

Sudah puas saya kena maki hamun dengan peminat. Mereka membuat penilaian berdasarkan kenyataan sebelah pihak, walhal mereka tidak berhak menjatuhkan hukuman jika tidak tahu apa sebenarnya berlaku.MA: Sejak bila Mawi berfikir untuk menerus atau menamatkan hubungan dengan Ina?MAWI: Sudah lama, kira-kira lima bulan. Terus terang ketika itu saya sayang dia dan mahu meneruskan hubungan kami. Jika dia boleh bersabar dan tidak terlalu mendesak, perkara ini mungkin boleh diselamatkan lagi.MA: Apa yang berlaku sebenarnya sehingga timbul cerita keluarga tidak merestui, bahkan saya difahamkan sebelum ini Mawi dalam dilema kerana arwah Pak Atan dan keluarga kurang senang dengan Ina?MAWI: Sukar untuk saya jelaskan kerana ia terlalu peribadi. Yang boleh saya katakan, ada masalah antara Ina dan keluarga saya.

Ada insiden di mana dia mengguris hati keluarga saya. Di mana silapnya, biar ia terus menjadi rahsia saya, Ina dan keluarga. Saya tidak mahu melukakan hati, menjatuhkan maruah atau air muka orang. Biarlah dia yang rancak bercerita dengan media, tetapi tidak sesekali saya. Bagi saya, apa yang berlalu biarlah berlalu. Niat saya dulu mahu berbincang dengan abah sekali lagi dan dapatkan lampu hijau untuk meneruskan hubungan selepas dia sembuh, tetapi segala-galanya sudah terlambat. Apapun, bagi saya dalam bab soal kahwin, restu keluarga sangat penting.MA: Bagaimana perasaan Mawi terhadap Ina sekarang?MAWI: Tawar hati. Dia bukan lagi Ina yang saya kenali dulu.

Pertama kali bertemu pada 2004, Ina manis dan pendiam. Apa yang berlaku ini seperti dirancang. Selepas berbual dalam telefon Jumaat minggu lalu, dia terus bercerita dengan media. Apa niat dia sebenarnya? Sebelum inipun dia jelaskan di akhbar yang dia tawar hati dengan saya, jadi untuk apa lagi kami teruskan.MA: Yang paling Mawi kesali mengenai Ina?MAWI: Dia bercerita hal peribadi kami kepada media. Dari dulu saya berpesan kepada Ina mengenai perkara ini. Saya faham keadaan dia, tertunggu-tunggu dan risau, tetapi dia perlu bersabar. Hanya kesabaran tinggi dapat redakan kerisauan di hati. Paling saya tidak tahan, dia terlalu mendesak.

Dia tidak menghormati keadaan abah yang terlantar sakit di hospital.MA: Maksud Mawi?MAWI: Sebulan lalu saya, Ina dan keluarganya berjumpa di Kuala Lumpur. Saya jelaskan keadaan abah dan minta mereka bersabar sehingga abah sembuh. Kemudian, baru boleh berbincang dan dipersetujui Ina dan keluarganya. Selepas sebulan dia bertanya lagi dan mendesak saya supaya memberikan jawapan. Fikiran saya benar-benar berserabut, saya risaukan keadaan abah yang kritikal dan tunang pula tidak henti-henti mendesak. Saya memintanya bersabar, tetapi dia terus mendesak. Sepanjang abah di hospital, Ina menghubungi saya beberapa kali untuk mengetahui tarikh perkahwinan. Dia turut memberi kata putus, tentukan tarikh atau dia akan tamatkan hubungan. Apa anda akan lakukan bila di kedudukan saya?

Saya rungsing dan susah hati, sepatutnya dia hormati keadaan abah. Kemuncak malam Jumaat minggu lalu, kami bergaduh di telefon dan esoknya cerita kami keluar di akhbar. Lebih menyedihkan, ia digembar-gemburkan seolah-olah saya putuskan pertunangan, padahal maksud saya ketika itu, keluarga saya akan berjumpa keluarganya untuk berbincang. Kesedihan berganda apabila kisah ini dibesar-besarkan ketika abah saya pergi buat selama-lamanya.MA: Apa tujuan Ina datang berjumpa Mawi di Kuala Lumpur minggu lalu?MAWI: Setahu saya, dia ada sesi fotografi. Kami tidak berjanji untuk berjumpa. Lagipun ketika itu saya sibuk, mustahil boleh jumpa. Dari jam 3 petang saya sibuk di RTM, kemudian ada persembahan di Hotel J W Marriot pada sebelah malamnya. Antara waktu itu, saya ada rehearsal dan sound check. Ketika membalas panggilannya, dia mendesak saya supaya memberikan keputusan, biarpun berkali-kali saya jelaskan tunggu sehingga abah sembuh. Tindakan Ina tidak kena pada waktunya, malah menambah tekanan yang ada. Saya betul-betul sedih dan terkilan. Selama ini saya berharap kehadirannya (sebagai tunang) dapat memberikan kekuatan dan semangat kepada saya, tetapi sebaliknya yang berlaku.

MA: Benarkah Ina sukar menghubungi Mawi dan perlu melalui pembantu peribadi (PA) atau kakitangan Maestro sebelum bercakap dengan Mawi. Dia juga tidak ada nombor telefon Mawi?MAWI: Dia ada nombor saya. Nombor yang dipegang PA saya adalah nombor saya. Masalahnya saya kerja, jadi tentu telefon saya dipegang pembantu peribadi atau kakitangan Maestro lain. Boleh dikatakan pada kebanyakan masa mereka menjawab panggilan saya. Selepas keluar AF pada Ogos tahun lalu sehingga Januari lalu, kami kerap berhubung. Kadangkala dalam satu hari, lima hingga tujuh kali dia hubungi saya. Jadual saya padat dan adakalanya dia hubungi saya pada waktu tidak sepatutnya, antaranya di atas pentas, ketika latihan atau menguji sistem bunyi.

Dia mahu berbual seperti biasa, tetapi tidak boleh kerana waktu terlalu suntuk. Biasanya jam 2 atau 3 pagi baru selesai semua kerja. Tidak dinafikan tiga atau empat bulan ini memang susah untuk berhubung, tetapi bukan tidak ada langsung.MA: Sebelum ini anda mengaku tidak suka Ina menjadi model dan muncul di majalah atau akhbar. Kenapa?MAWI: Memang betul saya tak suka. Bagi saya, tidak perlu kerana ketika itu dia tunang saya dan bukan artis. Bukan senang apabila menjadi perhatian ramai kerana banyak cabaran dan onak durinya. Berkali-kali kami berbincang mengenai perkara ini, tetapi apa boleh buat dia minat dan saya tidak boleh halang rezeki orang. Kalau ikutkan, dia boleh tolak tawaran yang datang, tetapi dia nak juga. Mungkin sudah tertulis itulah rezekinya.

MA: Jika perkara ini tidak berlaku, apa yang Mawi mahukan dalam hubungan ini?MAWI: Dia mendengar kata, bersabar, hubungan baik dan pandai ambil hati keluarga serta tidak perlu mendedahkan diri dengan media.MA: Teman hidup yang bagaimana Mawi harapkan?MAWI: Paling penting bukan sebab populariti saya, faham kerja saya, tidak terlalu mengikut perasaan, tenang, matang, tidak cepat melatah dan menerima saya seadanya.MA: Jika tidak menjadi keberatan, boleh Mawi kongsi pengajaran yang diperoleh melalui peristiwa ini?

MAWI: Tuhan sentiasa menguji orang yang sabar. Sesuatu yang diberi tidak semestinya kekal. Ada yang diberi dan ada yang ditarik. Contoh terdekat, saya dilimpahkan dengan duit dan diberikan kereta yang mana satu ketika dulu tidak pernah terlintas di fikiran. Pun begitu, dalam sekelip mata saya hilang abah dan Ina. Dari situ saya sedar kita kena sentiasa bersedia menghadapi apa juga kemungkinan dalam hidup.

MA: Harapan anda terhadap peminat?

MAWI: Saya harap peminat hormati keputusan saya dan keluarga. Beri saya peluang untuk menentukan hidup saya serta teruslah menyokong karier saya

2 comments:

  1. Anonymous3:45 PM

    This site is one of the best I have ever seen, wish I had one like this.
    »

    ReplyDelete
  2. Anonymous6:52 PM

    Great site lots of usefull infomation here.
    »

    ReplyDelete