Sunday, July 30, 2006

Terminal Terakhir......


Belasungkawa Hani Mohsin - Semuanya demi Karmila

“Aku hidup untuk Karmila. Aku tak ada siapa-siapa. Nasib baik ada Karmila.’’ Itu antara yang diluahkan semasa saya dan Hani Mohsin menginap di bilik 214 Hotel Seri Malaysia Kuantan 30 Jun dan 1 Julai lalu. Hani Karmila adalah anak tunggal Mohsin dengan bekas isterinya, Datin Seri Tiara Jacquelina.

Rasa terleka tatkala dia melukiskan kemanjaan dan keletahnya Karmila yang berusia sembilan tahun itu. Ternyata Karmila sangat membahagiakan dan Karmila tidak pernah lekang dari ingatan. Demikian kasih sayang yang tidak terucapkan daripada seorang ayah kepada anak tunggalnya.
Mohsin adalah anak tunggal yang kematian kedua-dua orang tuanya. Sekalipun Mohsin seorang selebriti popular tetapi di sisi lain hidupnya penuh sepi. Kesepian itu cuma terusir apabila tiba giliran Karmila bermalam di rumahnya di Bukit Antarabangsa.
Saya mendengar dengan tekun tentang Karmila, tentang ibu, tentang ayah yang telah tiada dan tentang hidupnya yang kosong. Mohsin lelaki bersemangat kuat meneruskan hidup sekalipun orang-orang yang rapat dengannya telah tiada.
Pemergian ibu secara tiba-tiba menyentak sebahagian daripada jiwanya. Berbulan lamanya dia tidak berupaya melihat sofa yang sering diduduki ibunya kerana seakan-akan ibu masih di situ.
Karmila adalah satu-satunya zuriat yang menjadi permata hati. Saya cuba berada di tempatnya. Dan tidak bertanya apa-apa, cuma menjadi pendengar yang setia. Ada kata-kata yang tersekat di kerongkong apabila bercakap tentang ibu dan ayahnya. Pantas pula saya mengalih bicara.

Selasa lalu Mohsin juga telah tiada. Allahyarham pergi dihantar sendiri oleh permata hatinya di terminal terakhir sebuah kehidupan. Simboliknya keberangkatan untuk kembali ke kampung halaman di Perlis, tempat Allahyarham dilahirkan. Kita tentu dapat membayangkan kegembiraan Allahyarham apabila berpeluang untuk bercuti bersama Karmila di rumah ibu saudara sebelah ibunya di Perlis. Kemudian mereka merencana meneruskan perjalanan ke Langkawi. Tetapi semuanya tidak kesampaian apabila saat keberangkatan telah tiba.
Allahyarham Mohsin jatuh dan meninggal dunia di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di KLIA pada usia 41 tahun. – KU SEMAN

1 comment:

  1. Anonymous12:03 PM

    semoga Allah cucuri rahmat keatasnya...ketika DIA mengambil sesuatu, DIA telah sedia memberi yang lebih baik.

    ReplyDelete