Tuesday, August 01, 2006

Ini kerajaan kata............


UDM bukti BN penuhi janji kepada Terengganu – Abdullah
Oleh Wan Zulkifli Wan Yaacob

ABDULLAH Ahmad Badawi melihat lakaran model Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) selepas merasmikan majlis pecah tanah UDM di tapak kampus universiti itu di Dendong, Besut, Terengganu, semalam.
BESUT 31 Julai – Pembinaan Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) yang disifatkan sebagai titik permulaan kepada pembinaan tamadun baru bagi Terengganu dilancarkan di Tembila hari ini dengan majlis pecah tanah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

UDM merupakan universiti awam (IPTA) ke-18 dan pertama di negara ini menggunakan konsep kampus Universiti Cambridge di Britain yang akan mempunyai kolej universiti di setiap daerah di Terengganu.
Ia merupakan sebahagian daripada janji manifesto Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum lalu dan yang dibayangkan oleh Perdana Menteri sebagai ‘‘yang belum pernah dilihat sebelum ini.”

Menurut Perdana Menteri, kerajaan akan memastikan setiap janji ditunaikan sebagaimana impian besar rakyat Terengganu untuk melihat wujudnya UDM yang kini menjadi realiti.
Berucap pada majlis itu, Abdullah berkata, UDM merupakan hadiah dan milik rakyat Terengganu yang ingin melihat perubahan dalam negeri ini dengan memberi kepercayaan kepada kerajaan BN.

Katanya, ia dapat memberi sumbangan besar ke arah membangunkan modal insan yang dapat menjana ke arah kemajuan negeri dan juga negara amnya.
Menurut beliau, UDM menjadi pelengkap kepada lonjakan pencapaian pendidikan di negeri ini yang telah bermula sejak lima tahun lalu apabila Terengganu mencapai kedudukan tertinggi dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed dan Naib Canselor UDM, Datuk Prof. Dr. Alias Daud.
Universiti itu yang kini menempatkan 5,080 pelajar disasarkan mempunyai 10,000 pelajar menjelang 2010 melalui tiga kampusnya iaitu di Tembila, Kuala Terengganu dan Kolej Agama Sultan Zainal Abidin.
Bercakap pada sidang akhbar kemudiannya, Abdullah memberitahu, UDM merupakan salah satu daripada 12 projek yang dalam proses pelaksanaan di negeri ini bagi memenuhi janji pilihan raya.
‘‘Ia tentunya mengambil masa bagi pelaksanaan kesemuanya kerana memerlukan perancangan lebih teliti bagi memastikan ia benar-benar berkesan dan menyeluruh dengan mengambil kira keperluan di peringkat negeri dan daerah.

‘‘Semua ini mesti dipastikan perancangannya dengan baik, jika tidak ia akan jadi kelam kabut, impaknya kepada rakyat akan kurang dan boleh bawa reaksi yang tidak diingini.
‘‘Bila selesai orang merungut, ada yang tak betul apabila pelaksanaan tidak dibuat dengan baik, jadi kita belajar dari pengalaman, agar memastikan keberkesanan sebagaimana yang diharapkan,” katanya.

Sementara itu, Idris ketika berucap pada majlis tersebut menyifatkan UDM merupakan pelengkap kepada prasarana pendidikan di Terengganu dan ia memberi impak besar kepada kemajuan negeri.
‘‘Penubuhan UDM turut membuktikan bahawa kerajaan pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi amat prihatin di atas perkembangan pendidikan di Terengganu.

‘‘Ini satu lagi sejarah dipahat kerana BN berjaya mengotakan apa yang dijanji. Saya percaya dengan tertubuhnya UDM, harapan kita untuk membina tamadun yang gemilang berasaskan umatnya yang berpengetahuan dan berakhlak mulia akan menjadi realiti suatu hari nanti,’’ katanya.

No comments:

Post a Comment